Skip to main content

MARIA WAHID - DORONGAN KELUARGA SEJAK KECIL,BINA HALA TUJU PERNIAGAAN


OLEH: Akmal Radzuan


Muda berketerampilan, manis air wajah dan sopan santun tutur bahasa antara perwatakan yang terpapar pada diri Siti Maria Abdul Wahid, usahawan wanita yang baru menginjak usia 26 tahun. Kini, usahawan yang lebih selesa disapa panggilan Maria meneruskan legasi perniagaan Butik Citra Mawar, sebuah butik pakaian wanita warisan ibunya. Sememangnya, keterlibatan kedua ibu bapa kandungnya dalam dunia perniagaan sejak beliau di bangku sekolah bagai mewariskan minda bisnes dan menyuntik minat serta semangat dalam memajukan perniagaan yang dijalankan.

Selok-belok urus niaga telah diketahui dan dididik oleh ibu bapanya sewaktu beliau masih di sekolah rendah.       Pengalaman membantu ibunya menjual pakaian seperti baju kurung dan tudung kepada guru sekolah telah mengajar beliau erti jual-beli dalam perniagaan. Ayah kandungnya yang mengusahakan bengkel kereta juga menitipkan buah fikiran untuk Maria menceburi bidang bisnes.

Sewaktu kecil, pernah sekali diajukan persoalan kepada ayahnya dan jawapan yang diberikan dilihat sebagai penentu hala tuju. Maria bertanya perihal bagaimana untuk menjadi kaya seperti orang lain dan ayahnya memaklumkan  bahawasanya dengan cara berniaga ialah jawapan untuk persoalan itu. Nyata, kata-kata ayahnya itu bukan mimpi. Maria mengenali dunia perniagaan sejak kecil lagi dan ketika ini, beliau berjaya menguruskan Butik Citra Mawar yang menawarkan pakaian muslimah moden seperti koleksi tudung dan baju kurung. Selain itu, beliau turut menawarkan produk kosmetik untuk kegunaan para pelanggan. 

Biar semekar dan seharum nama butik, Maria mahu butik Citra Mawar dalam acuan dekorasi warna serba putih, susunan koleksi pakaian yang bersih dan kemas dilengkapi sistem teknologi terkini amat sesuai dengan citarasa pengguna. Cara beliau menguruskan butik memang kelihatan sistematik. Untuk memudahkan para pengguna yang berkunjung ke butik, sistem imbasan QR Code yang boleh diimbas dengan telefon pintar telah disediakan untuk para pelanggan melakukan pembelian.

Tidak hairanlah apabila pelanggan mudah membuat keputusan untuk berbelanja di butik Citra Mawar. Cara beliau melayani pelanggan dengan sikap ramah mesra dan pandai menarik perhatian orang ramai amat memuaskan hati. Bagi diri Maria, beliau akui lebih gemar berhadapan dengan orang ramai di butik dan menjalankan promosi di tapak jualan untuk menarik minat para pelanggan .Seiring perkembangan teknologi, beliau tidak terlepas menggunakan pendekatan online seperti di laman Facebook dan Instagram untuk memasarkan jualan. Beliau juga mempunyai cara tersendiri untuk menarik perhatian orang awam bagi mendapatkan barangan jualannya.

“Misalnya, Jika ada pelanggan yang mahukan baju berwarna merah, saya akan keluarkan apa jua baju berwarna merah dalam simpanan butik untuk dilihat dan dipilih pelanggan biarpun ianya nampak leceh.

“Patung-patung model akan dipakaikan tudung dengan warna dan jenis berbeza setiap masa supaya ada tarikan untuk para pelanggan. Kerap dalam sehari iaitu lima ke enam kali, tudung berbeza ditukarkan pada setiap patung oleh kakitangan saya,” jelas Maria yang sentiasa tidak lekang melemparkan senyumannya setiap kali menutur bicara.

Selain daripada jualan baju dan tudung, Maria menawarkan produk kosmetik sebagai kepelbagaian dalam aspek produk jualan. Pengalaman berniaga sejak kecil membuahkan pelbagai kaedah untuk beliau menarik perhatian para pelanggan. Maria juga sentiasa mempromosikan produk kosmetik jualannya dan memberikan khidmat solekan percuma untuk pelanggan merasai pengalaman penggunaan produk.

“Sambil bercerita mengenai pakaian, saya akan bertanya kepada pelanggan sekiranya pelanggan itu pernah menggunakan kosmetik tertentu dan saya akan cerita kelebihan produk kosmetik yang saya jual. Solekan secara percuma akan diberikan dan terpulang kepada pelanggan untuk beli atau tidak. Yang penting, pelanggan perlu tahu keberkesanan produk yang saya jual dan guna ini ,”ujar Maria.



Mahu nama butik Citra Mawar harum dihidu umum, Maria memberitahu bahawa jenama Citra Mawar turut terpapar dalam penghargaan akhir sebuah drama pada skrin televisyen apabila menjadi penaja sebilangan artis tanah air untuk mengenakan koleksi pakaian Citra Mawar .  Antara artis popular yang pernah mendapatkan penajaan Citra Mawar ialah pelakon veteran Liza Abdullah dan juga pelakon muda Eka Farhana. Aktres muda seperti Eka Farhana juga ada berkongsi gambarnya tatkala menggayakan busana dari Citra Mawar di laman media sosial Instagram bagi mempromosikan jenama Butik Citra Mawar. Maria juga sering menyertai karnival jualan di tapak Kompleks Karangkraf bersama selebriti dan artis tempatan untuk memperlebarkan pemasaran.

Untuk memastikan urus niaga dijalankan secara teratur, Maria sentiasa memastikan pengurusan kewangan diatur dan diselia dengan sistematik. Beliau menggunakan aplikasi online banking dalam telefon pintar sebagai pemudah cara untuk berurus niaga dan menguruskan kewangan.

“Saya akan menguruskan akaun dengan cara menggunakan pelbagai akaun bank yang berbeza untuk setiap perkara. Contohnya, ada akaun yang dikhaskan untuk pendapatan, untuk pembayaran pekerja, sewa dan pelbagai lagi.

“Nampak leceh, tetapi hal ini penting bagi saya supaya nampak keuntungannya dan penggunaan duit itu tidak disalahguna dan lebih teratur. Sekarang ini lebih mudah, boleh guna online banking,” jelas Maria.

Semekar perniagaan Citra Mawar, ada cabaran yang dihadapi Maria. Tidak melemahkan malah beliau lebih matang dalam mengukuhkan perniagaan. Menurutnya, cabaran mengekalkan tahap jualan yang memberangsangkan kadangkala meruntun jiwa namun berbekal semangat tinggi dan cara yang berkesan, beliau pasti mengorak langkah lebih jauh untuk membangunkan perniagaan. Beliau juga ada mengikuti seminar berkaitan keusahawanan untuk menambah ilmu di dada untuk memperbaiki tahap perniagaan.

Selain itu, beliau turut berkongsi mengenai masalah sebelum ini ketika melakukan urus niaga dengan pembekal yang tidak menepati janji dan saingan daripada para peniaga di sekelilingnya yang tidak membantu dalam proses beliau untuk menyewa lot kedai. Namun begitu, cabaran sebegini bukanlah pematah semangat untuknya.

Untuk memperkukuhkan perniagaan, anak bongsu daripada empat beradik ini mempunyai matlamat dan perancangan masa hadapan. Maria menjelaskan, beliau kini mahu tumpu sepenuhnya untuk memperkembangkan perniagaan sedia ada di samping mahu mempertingkatkan pemasaran dengan membuka lebih banyak tapak jualan di karnival yang disertai di mana-mana institut pengajian tinggi sekitar Selangor.

Usahawan wanita muda bergaya ini juga sempat berkongsi saranan kepada kakitangan dan juga usahawan yang baru membina perniagaan. Pesanan beliau, kita harus bersikap ikhlas dalam pekerjaan yang dilakukan dan segala urusan akan dipermudahkan oleh Allah, tuhan sekalian alam. Sejujurnya, Maria dilihat sentiasa belajar daripada pengalaman keluarganya. Dorongan dan nasihat ahli keluarga membantu menguatkan tekad beliau untuk mengukuhkan perniagaan.





INFO RINGKAS

Nama : Siti Maria Binti Abdul Wahid

Umur : 26 Tahun

Alamat butik : Lot 01-162A, Tingkat 1, Kompleks PKNS, Persiaran Tasik 40000 Shah Alam, Selangor

Facebook: Butik Citra Mawar

Instagram: @butikcitramawar

Nombor Telefon : 017-253 5017


Comments