OLEH: AKMAL RADZUAN
*Artikel ini diterbitkan dalam majalah keusahawanan PKNS Bizpoint.Bilangan 63.2018.
Langkah awal ke arah perniagaan yang bermula secara tak langsung
tetapi dengan dorongan , tekad dan azam yang tinggi, ianya menjadi
tiket perjalanan perniagaan paling bermakna buat usahawan muda Yuslinda
Yusof. Pemilik Arideal Enterprise dan butik pakaian wanita muslimah berkonsep
tapak jualan yang diberi nama Kiki Aisyah ini mengakui bahawa sokongan suaminya
dan darah perniagaan yang mengalir dari jalur keturunan ibunya bukanlah menjadi
titik tolak. Namun, kecekalan hati dan motivasi diri menjadi rencah dan ramuan
dalam diari seorang usahawan untuk mara kehadapan.
Sebelum memasuki gerbang perniagaan, Yuslinda merupakan graduan
multimedia interaktif dari Universiti Kuala Lumpur dan pernah menabur bakti
sebagai penjawat swasta dalam bidang teknologi maklumat dari tahun 2009
sehingga 2012. Hala tuju bermulanya sebagai usahawan berjaya itu telah
bercambah setelah seringkali hadir membantu suaminya, Faridil Halim seorang
peniaga di tapak jualan pakaian sejurus setiap kali selesai urusan kerja di
pejabat dan ketika waktu senggang.
“Awalnya, saya berniaga bukanlah dengan minat dan tidak pula secara
kebetulan, tetapi melihatkan suami yang berniaga setiap hari di tapak jualan
membuatkan saya turut tampil sekadar bantu membantu sahaja dan secara tak
langsung sebenarnya, ” ujar beliau.
Enggan menoleh ke belakang lagi, Yuslinda terus mara menceburi bidang
keusahawanan pada tahun 2012 setelah tamat kontrak kerja di syarikat swasta .
Dorongan suaminya yang kaya dengan pengalaman dalam menguruskan perniagaan
membuatkan beliau berada di landasan paling tepat untuk terus menceburi bidang
keusahawanan .
Ibu kepada empat cahaya mata ini berkata, enam tahun dalam bidang
perniagaan yang diceburi sememangya mempunyai cabaran tertentu, apatah lagi
usaha beliau untuk mengembangkan perniagaan berkonsepkan pakaian dan fesyen. Katanya,
kekangan mendapatkan modal pinjaman awal , persaingan hebat oleh peniaga lain
dan terputus bekalan stok merupakan cabaran permulaan berniaga .
Yuslinda menyedari bahawa dirinya kurang berpengalaman dalam
pengurusan seawal perniagaan. Pernah suatu ketika ,wang hasil jualan dan
barangan jualan dibawa lari oleh salah seorang kakitangannya. Kesal dan sesal
dengan kejadian itu, namun, beliau tidak cepat melatah, lantas menganggap perkara
seperti itu mematangkan dirinya agar berwaspada dan lebih berhati hati dalam
menguruskan perniagaan.
Sebagai usahawan , pulangan ke atas pelaburan yang positif amat
penting untuk mencapai hasil jualan yang memberangsangkan. Begitu juga Yuslinda
, cabaran besar sehingga timbul lelah dan runsing adalah untuk beliau
mengekalkan dan meningkatkan tahap jualan . Beliau tidak lekas melenting jika
hasil jualan dan sambutan kurang menggalakkan. Menurut beliau, tiada apa yang
lebih bermakna selain cekal hati bersandarkan niat dan hala tuju untuk mencapai
matlamat.
Yuslinda akui, setiap
permasalahan pasti ada jalan penyelesaiannya dan usah sesekali berputus asa.
Pendekatan yang sering digunakan ialah secara berbincang terutama bersama suami
yang juga rakan niaga. Sekiranya tidak beroleh solusi berkesan, sesi diskusi
dan bertanyakan pandangan daripada rakan jaringan usahawan amat membantu. Dengan
cara ini , dapat memberi gambaran bahawasanya setiap usahawan perlukan
bimbingan daripada banyak pihak di samping dapat bertukar idea bernas demi
memajukan sesebuah perniagaan.
“Sebenarnya, kita perlu yakin
dahulu pada diri kita, apa jua hal pun, memang perlu yakin dan Inshaa Allah kita
mesti kena bersungguh juga,” tegas beliau.
Berbicara mengenai wawasan dan
perancangan untuk tahun yang mendatang, beliau mempunyai hasrat yang tinggi untuk
dicapai. Biar impian jadi realiti, Yuslinda mahu melebarkan sayap perniagaan
dengan menambah bilangan cawangan kedai berkonsep tapak jualan di pusat beli
belah sekitar Selangor. Beliau mahu mengusahakan lebih banyak lagi rangkaian kedai dalam tempoh tiga tahun akan datang dari
sekarang.
Memiliki butik sendiri ialah idaman para usahawan pakaian. Yuslinda
turut menyatakan perancangannya untuk mengusahakan butik pakaian sendiri di
samping memperkukuhkan perniagaan yang dibina di tapak jualan ketika ini. Selain
jualan berasaskan pakaian, beliau mahu menghasilkan minyak wangi jenama sendiri
untuk dipasarkan dan menambah variasi penawaran produk kepada para pelanggan.
“cekal Hati”.Itulah perkataan
pertama yang keluar dari mulut Yuslinda apabila ditanya mengenai pesanan untuk
para usahawan yang baru memulakan perniagaan agar berjaya dalam apa jua perniagaan yang dijalankan.
“Modal nombor dua dan yang paling penting ialah kita perlu cekalkan
hati kita.Tiada gunanya modal beratus ribu jika kita berbelah bahagi untuk mula
berniaga atau pun tidak. Apa yang penting ialah cekalkan hati dan kekal
bermotivasi.
“Äpabila kita cekalkan diri dan tekad untuk memulakan bisnes, baru
kita akan rasa lebih bersemangat , fokus dan ada hala tuju. Sekiranya kita
asyik memikirkan modal sahaja, sampai bila bila pun kita tak akan mula
berniaga,” jelas Yuslinda.
Menurut usahawan wanita
berstatus ibu ini, untuk menjadi usahawan dan menceburi bidang perniagaan, kita
perlu bersiap sedia memberi komitmen sepenuhnya, fokus dan bukan sekadar hangat
hangat tahi ayam.
“Hendak berniaga ini perlu 200
peratus komitmen sebab kita yang menentukan hala tuju dan perlu fokus serta
tidak boleh bersikap sambil lewa. Kita juga perlu kerja kuat, tepati masa dan
tepati janji terhadap pelanggan walau bagaimana cara sekalipun,” tambah
Yuslinda.
Pemasaran produk yang berkesan memberi impak kepada jualan dan ianya
amat diakui oleh Yuslinda. Justeru, beliau yang bersikap ramah dan gemar
mendekati pelanggan secara dekat memberitahu sekiranya kita ingin mendapatkan
pelanggan tetap, kita harus berinteraksi dengan baik bersama para pelanggan dan sentiasa memberikan
cadangan yang sesuai berdasarkan apa yang pelanggan mahukan.
Sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya. Begitulah yang
boleh diungkapkan apabila sebagai seorang usahawan yang sudah lama menguruskan perniagaan,
beliau bijak mengendali pelanggan secara bersemuka dan mudah mengagak kehendak
pelanggan. Yuslinda cukup mengerti
berkenaan pakaian dan fesyen muslimah masa kini .
Beliau sejujurnya menyukai pendekatan secara luar talian (offline)
kerana kepetahan dan kebiasaan beliau berbual dengan orang ramai. Yuslinda mengakui
dirinya lebih selesa berhadapan dengan pelanggan untuk urusan jual beli dalam
usaha menarik minat pelanggan mendapatkan produk yang ditawarkan. Beliau juga kerap
melakukan promosi dan diskaun barangan untuk menarik minat para pelanggan
mendapatkan barang jualannya dengan harga yang berpatutan di samping kualiti
yang terjamin.
Seiring perkembangan teknologi , Yuslinda tidak terlepas untuk
memasarkan produk jualan secara atas
talian (online). Pemasaran secara atas talian ini sudah menjadi keperluan bagi
seorang usahawan untuk meluaskan pasaran. Untuk tujuan itu, beliau menggunakan laman
sosial ‘facebook’ dan menggunakan aplikasi ‘facebook ads’ bagi memasarkan
produk dan meningkatkan tahap jualan. Beliau juga mempunyai data senarai
pelanggan yang mudah dicapai bagi tujuan promosi di media sosial.
Sebagai peserta Usahawan GROW pada tahun 2016, Yuslinda mengakui
bahawa beliau beroleh manfaat besar bertepatan dengan objektif program . Umum
mengetahui bahawa program usahawan Siswazah PKNS (GROW) menekankan asuhan dan
bimbingan usahawan bumiputera serta meneroka peluang berdasarkan aspek
pembelajaran melalui pengalaman usahawan.
Justeru, ilmu dan bimbingan oleh mentor dan rakan jaringan usahawan
dalam program mengajar beliau untuk lebih mendalami ilmu pengurusan perniagaan,
pengurusan masa dan meningkatkan motivasi diri agar sentiasa positif dalam
mendepani dunia perniagaan.
Menurut Yuslinda, sememangnya program usahawan GROW amat berkesan
untuk para usahawan yang baru memulakan perniagaan . Ramai rakan usahawan dan
tenaga pengajar yang akan mencurahkan segala ilmu dan tunjuk ajar serta sentiasa
membantu memotivasikan setiap peserta program agar lebih positif dalam
kehidupan.
Beliau juga seorang yang tidak lokek akan tips dan pengalaman
berguna. Di penghujung bicara, beliau sempat memberitahu bahawa dalam dunia
perniagaan, pengurusan dan motivasi diri amat penting. Sekiranya kita tidak bermotivasi,
sukar untuk kita maju ke hadapan. Jelas beliau, bimbingan dari senior yang
boleh dijadikan mentor dan tips serta nasihat daripada rakan jaringan usahawan amat
diperlukan untuk perkembangan dan kemajuan perniagaan seorang usahawan.
INFO RINGKAS
Nama Usahawan: Yuslinda
Yusof
Umur: 34 tahun
Nombor telefon: 019-287 1310
Nama syarikat: Arideal
Enterprise
Nama kedai : Kiki Aisyah
Tapak Jualan semasa : Aras
1,Giant Hypermarket Klang Sentral,N0.2 Persiaran Klang Sentral 4,Taman Klang
Sentral Bukit Raja Meru ,41050 Klang Selangor.
Facebook : Kiki Aisyah
Comments
Post a Comment
KOMEN DI SINI