Skip to main content

FAKARUDDIN YUSOFF- GIAT MEMPERLUAS EMPAYAR PERNIAGAAN


Oleh: Akmal Radzuan
Artikel ini diterbitkan dalam Majalah Keusahawanan PKNS Bizpoint bilangan 64,2018.


FAKARUDDIN YUSOFF

               Menyelusuri zaman kanak-kanak, usahawan muda yang merupakan Pengarah Brotherhood & Co, Fakaruddin Yusoff ini hanya berkayuh basikal roda tiga membantu ibunya menjual aneka kuih-muih dan kini beliau boleh berbangga dengan rangkaian perniagaannya di bawah jenama Brotherhood & Co. Dari sebuah restoran berkonsepkan hipster coffee house  yang menawarkan  juadah makanan mampu milik hinggalah kepada perniagaan kedai runcit dan perkhidmatan dobi layan diri, usahawan berwawasan ini dilihat mempunyai visi dan misi yang jelas dalam memperluas dan melonjakkan perniagaannya.
 Jenama Brotherhood&Co yang 
semakin meningkat naik.

Seawal menceburi bidang perniagaan restoran pada tahun 2015, Fakaruddin sememangnya tampil bergaya dengan ideologi dan konsep yang tersendiri dalam membina perniagaan. Beliau kekal dengan prinsip jenama Brotherhood yang dianggap seperti satu ikatan memandangkan perjalanan perniagaannya yang sentiasa disokong oleh kaum keluarga dan rakan taulan yang begitu akrab.


Fuhh!!! Restoran Brotherhood&co


Sewaktu bergelar mahasiswa dan Presiden Kelab Usahawan di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Fakaruddin menjadikan detik pengalamannya berniaga di tapak jualan dan gerai kecil di kawasan kampus sebagai batu loncatan untuk membuka perniagaan di kawasan Seksyen 7, Shah Alam meskipun ketika itu beliau belum lagi tamat pengajian ijazah. Nyata beliau bermula secara kecil-kecilan tetapi dengan matlamat dan objektif yang jelas dalam perniagaan yang diusahakan, telah membawanya mara lebih jauh ke hadapan.


 Perniagaan restorannya kian maju dan sentiasa mendapat sambutan ramai lebih-lebih lagi kedudukan restorannya yang strategik dan berada di kawasan yang sering menjadi tumpuan pelajar. Kini beliau mengakui kewujudan rangkaian perniagaan miliknya dapat diuruskan dengan baik dengan bantuan ahli keluarga seperti abang dan kakaknya yang masing-masing terlibat dalam menguruskan operasi dan kewangan syarikat.

“Pengurusan Syarikat dapat dijalankan dengan baik dengan kerjasama keluarga dan kakitangan. Kita bukan superman untuk menguruskan syarikat secara sendirian,”ujar Fakaruddin berseloroh.

Beliau mengakui bahawa perniagaan seperti kedai runcit dan perkhidmatan dobi layan diri ini suatu bidang yang baharu untuk beliau terokai.  Menariknya, kedai runcit dan perkhidmatan dobi layan diri Brotherhood & Co ini terletak betul-betul berhadapan dengan restorannya dan kelihatan amat strategik untuk menarik minat orang ramai.

“Saya sememangnya mempunyai sasaran untuk memperbanyakkan cawangan jenama Brotherhood & Co dan kawasan ini amat sesuai kerana menjadi tumpuan para pelajar .
One stop centre! 

Restoran Brotherhood&Co terletak berdekatan 

dengan kedai dobi dan kedai runcit 
di bawah jenama Brotherhood&Co


“Kawasan ini seolah-olah seperti one stop centre iaitu semua yang diinginkan pelanggan ada di sini. Contohnya, orang yang berkunjung ke restoran ini boleh juga mencuci pakaian mereka di dobi dan membeli barangan keperluan di kedai runcit ,” jelas beliau.
Menurut Fakaruddin, kesesuaian lokasi perniagaan penting dalam perniagaan restoran. Pengusaha perniagaan perlu mengkaji dengan terperinci supaya pemilihan tapak restoran berada dalam kawasan tumpuan orang ramai. Sewaktu perniagaan restorannya belum dilancarkan, beliau sudah menggunakan medium online seperti Facebook, Instagram dan Twitter untuk menghebahkan perniagaannya. Beliau dalam nada rendah diri mengakui masih lagi  mempelajari dan memperbaiki cara memasarkan perniagaan dengan lebih efektif.

“Saya mengkaji pasaran, melihat suasana dan melakukan kajian dahulu sebelum berbuat sesuatu keputusan dalam perniagaan. Syukur, rezeki saya dapat menjalankan perniagaan di kawasan tumpuan orang awam khususnya para pelajar yang ramai di sekitar kawasan ini.

“Kuasa pemasaran dan kesan viral yang telah dihebahkan melalui medium media sosial seperti di akaun blog popular Siakap Keli antara yang telah menaikkan nama Brotherhood & Co ini. Lebih-lebih lagi, ianya satu kelebihan iaitu semua orang memiliki telefon pintar dan sentiasa menjadikan laman media sosial sebagai wadah mereka berkomunikasi,” ujar beliau.

  Beliau turut menyatakan bahawa rata-rata pelanggan yang berpuas hati menikmati juadah di restorannya juga sebagai penghebah dari mulut ke mulut membuatkan restorannya sentiasa menjadi pilihan pelanggan tetap. Fakaruddin juga mempunyai kaedah tersendiri untuk menarik minat pelanggan dan pihak produksi Jalan-jalan cari makan oleh siaran televisyen TV3  juga telah berkunjung bagi mempromosikan restoran seterusnya dapat mempopularkan jenama Brotherhood & Co ini.



Meriahnya!
Antara pelanggan yang berpuas hati menikmati juadah di 
Restoran Brotherhood&co.

“Ramai pelanggan yang menilai rasa dan servis dari restoran dan mereka menyampaikan kepada orang di sekelilingnya untuk turut berkunjung ke restoran ini dan secara tidak langsung menghebahkan restoran saya. Pihak produksi TV3 juga berkunjung bagi merasai sendiri keenakan menu makanan yang disediakan dan mereka menyatakan hasrat untuk mempromosikan restoran Brotherhood & Co yang dilihat bertepatan untuk disiarkan.

“Untuk menarik minat orang ramai, saya juga ada mempelbagaikan menu seperti memperkenalkan menu makanan yang baharu supaya orang tidak lupa akan jenama perniagaan saya,” jelas beliau.





Antara menu-menu gempak yang disediakan khas untuk pengunjung Brotherhood&Co

Usahawan yang baru berusia 31 tahun ini mempunyai perancangan dan sasaran yang jelas. Dalam usaha memperlebar rangkaian jenama Brotherhood & Co, beliau dilihat optimis untuk memperbanyakkan lagi rangkaian cawangan restoran dan memperkukuh perniagaan sedia ada. Untuk perancangan terdekat, beliau mahu memperkembangkan perniagaan kedai kopi berkonsepkan motorsikal di bawah jenama Brotherhood & Co.

Dalam membina empayar perniagaan, Fakaruddin tidak menolak untuk mengatakan bahawa ada cabaran tertentu dalam menjayakan sesebuah perniagaan yang dibina. Seawal perniagaan restorannya bermula lagi, beliau sudah berdepan persepsi yang akan menjadikan restorannya kurang mendapat sambutan pelajar iaitu restorannya nampak mahal dan beliau tampil merubah persepsi itu dengan cara menayangkan sepanduk menu dengan harga mampu milik sesuai dengan skop kawasan perniagaan.

Bagi dirinya, dalam pengurusan sesebuah restoran, memang tidak akan lari daripada masalah untuk mendapatkan komitmen kakitangan dan makanan yang disediakan perlu diselia kawalan kualitinya. Beliau juga perlu berlapang dada membaca komentar sesetengah netizen di laman sosial yang kadangkala mengkritik servis di restorannya untuk beliau memperbaiki mutu dari segi rasa dan servis.


Dalam menguruskan perniagaan kedai runcit, beliau perlu mengenal pasti barangan yang sesuai untuk dipasarkan dan harus memastikan mesin basuh dan mesin pengering di kedai perkhidmatan dobi layan diri diselenggara dengan baik untuk kegunaan pelanggan. Segala cabaran mematangkan diri untuk memperbaiki tahap perniagaan dan beliau berani mengambil risiko untuk mencapai kemajuan dalam perniagaan.

                Fakaruddin turut menzahirkan penghargaan dan mengakui banyak menimba ilmu pengurusan melalui penyertaan kursus keusahawanan seperti mengikuti Program Usahawan Siswazah PKNS (GROW) pada tahun 2012. Selain itu, beliau sememangnya kerap menyertai apa jua kursus perniagaan dan membina jaringan dengan usahawan tempatan selain belajar ilmu perniagaan bersama individu yang berjaya.

Usahawan berjaya ini tidak lokek akan ilmu dan pengalaman. Beliau pernah menyampaikan perkongsian ilmu di Institut Pengajian Tinggi sekitar Selangor dan turut menitipkan pesanan kepada bakal-bakal usahawan .

 “usahawan harus mempunyai mentor untuk maju dalam perniagaan dan mentor ini diibaratkan cikgu yang akan memberikan tunjuk ajar dan panduan berguna untuk kita. Ramai usahawan berjaya dan tokoh tertentu yang boleh dijadikan mentor dan bukanlah hanya seorang individu sahaja.

“Sebagai usahawan, kita perlu kreatif, menerokai ilmu dan pasaran semasa serta rajin bertanya. Banyakkan bergaul dengan rakan taulan yang dapat membantu perniagaan kita seperti bergaul dengan orang yang mempunyai jiwa dan minda bisnes,” jelas Fakaruddin.

Di akhir bicara, beliau turut menyarankan kepada semua dan dirinya sebagai muslim agar sering berdoa dan memperbanyakkan sedekah kerana ganjaran orang yang bersedekah sangat tinggi impaknya berdasarkan pengalaman seterusnya beliau menasihati anak muda untuk tidak takut akan cabaran yang mendatang dan jangan cepat berputus asa.



INFO RINGKAS

Nama : Mohd Fakaruddin Yusoff

Umur : 31 Tahun

Alamat Restoran : AAG2, Jalan Plumbum AA7/AA,

Pusat Komersil Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selango.

Nombor Telefon: 010-553 5357

Email: brotherhoodnco@gmail.com

Facebook: facebook.com/bhnco

Instagram: @bhnco






 













Comments

BACA!

JARINGAN USAHAWAN LONJAK PERNIAGAAN

OLEH: AKMAL RADZUAN Setiap Usahawan merupakan pengendali kepada perniagaan yang dijalankan. Hal Ehwal berkaitan pengurusan dan perkembangan bisnes perlu diselia dan dianalisa sebaiknya bagi memastikan matlamat dan sasaran menjurus ke arah memenuhi kehendak pelanggan dan pulangan ke atas pelaburan yang positif. Elemen terpenting yang tidak boleh disangkal oleh para usahawan ialah jaringan. Jaringan dalam keusahawanan antara wadah sebenar dalam memperkukuhkan perniagaan. Jaringan usahawan kadangkala terjadi secara tidak langsung tanpa disedari dan ianya boleh dilebarkan melalui segala bentuk hubungan antara manusia dalam kehidupan seharian untuk mendapat manfaat bersama. Dalam dunia keusahawanan, jaringan perniagaan yang melibatkan hubungan dan aktiviti berkaitan bisnes perlu dititikberatkan. “No networking , not working” begitulah ungkapan yang sesuai digambarkan betapa pentingnya para usahawan harus melebarkan rangkaian jaringan. Tanpa jaringan usahawan, sukar untuk memajuk

INOVASI- MOTOR KOPI

MOTOR KOPI Oleh :Akmal Radzuan @akmalduanz Anda peminat kopi? Minum di rumah atau di kedai kopi? Atau lebih menarik lagi sekiranya anda dapat meluangkan masa untuk merasai keenakan kopi di jalanan sambil memerhati keindahan alam dan melihat gelagat orang sekeliling. Tetapi di mana? Jawapannya di mana-mana sahaja dengan kedai kopi bergerak yang berkonsepkan motorsikal, tiba di kawasan anda! Sudah pasti dengan izinNya, seteguk kopi akan membuatkan anda segar dan bertenaga sepanjang hari . Kedai kopi bergerak yang dimaksudkan ialah Kedai Kopi Brotherhood & Co berkonsepkan motorsikal yang kini telah giat diusahakan oleh usahawan muda yang merupakan Pengarah Brotherhood & Co iaitu Fakaruddin Yusoff. Konsep perniagaan ini tercetus daripada pengalaman beliau yang melihat sendiri perniagaan kedai kopi berkonsep motorsikal di Vietnam sewaktu melancong di sana. Konsep perniagaan kedai kopi bergerak ini seperti perniagaan food truck tetapi diubah kepada penggunaan motorsika