Skip to main content

NADIA THAHERAH EZLAN - BIJAK MENGAMBIL PELUANG, FOKUS PERKUKUHKAN PERNIAGAAN ONLINE

Oleh: Akmal Duanz




NADIA THAHERAH EZLAN

      Mula berurus niaga dengan hanya menjual 10 pasang kain telekung solat kepada rakan-rakan di kampus, usahawan muda manis jelita iaitu Nadia Thaherah Ezlan yang merupakan pengarah urusan Kurta Lelaki Malaya bijak mengambil peluang memperlebar perniagaan jualan pakaian yang dibina secara atas talian seawal tahun 2014 ketika dirinya masih bergelar mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Perniagaan di Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia.

                Bibit-bibit penglibatan beliau dalam dunia perniagaan banyak terinspirasi daripada atuknya terutama selepas ketiadaan ibu yang telah meninggal dunia sewaktu beliau sebagai pelajar tingkatan satu di sekolah Maahad Muhammadiah Perempuan, Kota Bharu. Arwah atuknya aktif menjalankan perniagaan kain dan pakaian serta memiliki kedai runcit di Kuantan, Pahang dan sejak di bangku sekolah lagi, beliau sering tinggal bersama nenek dan arwah atuknya.

Sejujurnya Nadia mengakui bahawa figura atuknya yang menjalankan perniagaan telah mencambahkan minat dan mendidik beliau dalam menelusuri selok-belok dunia perniagaan. Ayahnya ketika ini yang meneruskan perusahaan pakaian legasi peninggalan arwah datuk juga telah banyak menimba ilmu perniagaan dari arwah atuk dan neneknya.

                “Datuk ibarat mentor. Beliau memang seorang yang gigih berusaha dan sedaya upaya cuba memenuhi keperluan pelanggan. Beliau banyak menjaja pakaian dan ramai pelanggan yang mendapatkan kain darinya di rumah.

“Nenek juga sebagai teman paling rapat atuk dan sering membantu atuk terutama di kedai runcit. Nenek sehingga kini banyak mengajar saya tentang menguruskan perniagaan dan akaun.
                  
                “Datuk banyak memberi pesanan dan ada berpesan agar jangan terlalu mengejar dunia sahaja dan lupakan akhirat walau sesibuk mana,” ujar Nadia yang menyifatkan arwah atuknya seorang yang gigih berusaha dalam perniagaan , kuat beribadah dan berpegang teguh pada agama Islam.

                Seawal memulakan perniagaan di kampus, beliau hanya menampilkan jualan kain telekung solat dan tudung untuk wanita. Rakan-rakannya ketika itu antara yang menjadi pelanggan setia. Kini, beliau tampil menawarkan koleksi pakaian khususnya kepada para jejaka di luar sana seperti kurta, baju Raihan dan jubah secara atas talian.
               
                “Ketika tahun 2014, sememangnya trend untuk menjual dan membeli secara online telah meluas dan ada rakan saya yang mencadangkan kepada saya untuk memasarkan barangan jualan secara online seperti di laman media sosial Instagram.

                “Memang niat saya pergi ke gudang beli-belah untuk mencari barangan jualan semasa mula-mula fokus untuk memperkembangkan perniagaan. Ketika itu, saya melihat pakaian kurta yang dipakai si suami yang dibeli dari pasaraya amat sesuai. sejak itu, timbul minat saya untuk menjual pakaian jenis kurta kepada para pelanggan,” kata Nadia yang sentiasa kelihatan manis melemparkan senyuman setiap kali menutur kata.



Segak! Koleksi pakaian Kurta Lelaki Malaya yang digayakan model 
( Dari kiri, suaminya, Abu Khuzaifah Embong )

Logo Kurta Lelaki Malaya.
Cantik! berwarna 
keemasan


      

                Untuk mempertingkatkan perniagaan, beliau banyak    menjalankan pemasaran perniagaan secara atas talian menggunakan platform media sosial Facebook dan Instagram dengan cara berkesan. Beliau turut memberitahu bahawa suaminya, Abu Khuzaifah Embong yang merupakan seorang guru sekolah rendah juga banyak berperanan mempromosikan pakaian jualannya di media sosial dan kepada rakan sejawat. Penerimaan pelanggan melalui jual beli secara online sangat memberangsangkan dan sebilangan pelanggan turut memborong pakaian kurta yang dijual.

           “Penting untuk meletakkan tanda hashtag ketika memasarkan produk menggunakan Instagram supaya memudahkan pelanggan mendapatkan carian barangan jualan yang ditawarkan .

“Saya juga menyertai aktiviti jualan di tapak karnival bagi mempromosikan pakaian jualan. Pernah juga ada pelanggan yang turut memborong pakaian lebih daripada 10 helai sekaligus menaikkan jualan saya,” jelas Nadia.

Mengenai perkembangan perniagaan terkini, usahawan berstatus ibu dengan seorang cahaya mata ini mengakui dirinya lebih fokus untuk memperkukuhkan perniagaan sedia ada dengan mengekalkan urus niaga dengan pelanggan lama di samping mencari prospek pelanggan baharu.

“Hubungan baik dengan pelanggan perlu dijaga. Kita perlu kekalkan pelanggan lama di samping mencari pelanggan baharu dan saya juga membina hubungan yang baik dengan pembekal. Untuk rekod, senarai data pelanggan saya selama perniagaan dijalankan telah mencapai 2000 orang. ujar Nadia.

Kini beliau telah mula membangunkan sistem dropship dan komisyen dalam perniagaan pakaiannya untuk tujuan pemasaran yang lebih meluas secara atas talian.

“Melalui dropship, kita tidak perlu melakukan pemasaran secara giat sebaliknya, dropshipper yang membantu untuk memasarkan produk dan barangan jualan,” ujar Nadia yang mengakui mengenali sistem terkini dalam perniagaan hasil daripada penyertaan program Usahawan SMART UIA.

Usahawan muda berumur 26 tahun ini juga mempunyai hasrat dan impian yang ingin dicapai pada masa-masa akan datang. Beliau merencanakan matlamat untuk memiliki koleksi pakaian dan tanda nama yang sepenuhnya di bawah Kurta Lelaki Malaya dan mahu membuka butik di bawah nama Kurta Lelaki Malaya.

Sejajar dengan revolusi perindustrian 4.0 yang berasaskan pendigitalan dan internet, Nadia turut menjelaskan pakaian jualannya turut dijual secara meluas 100 peratus secara atas talian dan menjadikan aplikasi Shoppee sebagai platform mempromosikan pakaian jualannya.

 Beliau juga memberitahu mentornya pernah berkata bahawa kita boleh menjana pendapatan secara atas talian dan telah terbukti dapat menghasilkan pulangan yang lumayan hanya dari rumah sahaja.
Dalam meniti arus perniagaan, badai ombak cabaran turut dirasainya ketika bergelar usahawan muda. Katanya, beliau berdepan masalah seperti mendapatkan bekalan stok barangan yang sudah ditempah dan dibeli awal oleh peniaga lain. Nadia menghadapi kesukaran membahagikan masa dalam perniagaan dan rumahtangga yang dibina ketika masih bergelar mahasiswa namun beliau tidak cepat melenting dan kobar api semangatnya tidak terpadam.

“Pernah sesekali saya memikul dan membawa karung plastik yang berat berisi kain jualan semasa menaiki kereta api untuk menuju ke kampus UIA. Saya gigihkan jua dan sentiasa memikirkan bahawa jika arwah atuk boleh buat, kenapa pula tidak untuk diri ini.

“Saya juga mengganggap Allah akan memberikan kesenangan selepas ini ketika menghadapi sedikit kesusahan dan ia akan menjadikan saya lebih tenang dan bermotivasi,’’ujar Nadia.

Nadia mengakui dirinya banyak menimba ilmu perniagaan daripada Program SMART Usahawan Mahasiswa UIA dan tidak henti-henti mengatakan banyak pendedahan dan didikan khususnya dari tenaga pengajar semasa program dijalankan.

Naib Juara Usahawan SMART UIA ini menimba ilmu pergurusan kewangan, perakaunan dan penjenamaan yang membantu melonjakkan perniagaannya selama tiga bulan daripada bulan Mac hingga Mei 2018 ketika Program Usahawan SMART UIA berlangsung. Umum mengetahui, program usahawan SMART UIA 2018 merupakan pendedahan ilmu keusahawanan melalui situasi perniagaan sebenar khusus kepada mahasiswa.

Untuk rekod anugerah dalam perniagaan, beliau pernah merangkul anugerah kemenangan tempat ketiga dalam Program Siswapreneur Showcase 2018 apabila mencatatkan jualan tertinggi di antara usahawan mahasiswa lain dengan nilai keuntungan jualan berjumlah 7000 Ringgit selama tiga hari program itu berlangsung.

Biarpun beliau masih muda, beliau mempunyai pelbagai pengalaman dan tip untuk dikongsikan kepada bakal-bakal usahawan. Katanya, kita perlu mengambil pengalaman daripada orang yang berpengalaman, jangan lupakan orang yang paling rapat degan kita dan  jangan buat kerja separuh jalan dan fokus melakukan sesuatu sehingga berjaya.

“Dalam perniagaan, kita mesti ada target untuk capai pendapatan dan keuntungan setiap bulan dengan jelas. Kita perlu bijak membahagikan masa dalam mengatur aktiviti kehidupan, perlu ada mentor , hadirkan diri dalam kursus dan seminar perniagaan serta tanya pada yang pakar.

          “ Bak kata mentor saya, hendak kaya, jangan kaya seorang sahaja dan perlu membantu memberi peluang kepada orang ramai untuk berjaya. Dalam kehidupan, kena seimbang dunia dan akhirat. Jangan terlalu kejar kemewahan dan kekayaan sahaja kerana mati tak mengenal usia,” jelas Nadia.

INFO RINGKAS
NAMA SYARIKAT: Thaherah Empire Enterprise
NAMA KEDAI ATAS TALIAN : Kurta Lelaki Malaya
LAMAN WEB : www.kurtamalaya.com

NOMBOR TELEFON: 011-2924 9648
FACEBOOK: facebook.com/kurtalelakimalaya
INSTAGRAM: @kurtalelakimalaya





































Comments