Skip to main content

LANGKAH - LANGKAH MEMULAKAN PERNIAGAAN


oleh: Akmal Radzuan @akmalduanz

Perniagaan boleh disimpulkan sebagai seni mengambil duit orang. Setuju? Atau ianya persepsi. Jika diteliti, definisi perniagaan ialah sebuah bentuk organisasi yang sah dan diiktiraf untuk menyediakan barangan atau perkhidmatan atau kedua-duanya kepada para pelanggan. Apa yang lebih penting, perniagaan dibina untuk memberikan manfaat kepada pelanggan. Soal keuntungan itu sudah pasti akan diterima kerana keuntungan hasil jual beli datangnya daripada perniagaan.

Saya akui, kecenderungan menjadi usahawan dan membina sebuah perniagaan ini lahir daripada minat dan tidak semua yang memiliki minda sebegini. Minat dalam perniagaan juga dipengaruhi oleh pelbagai faktor dorongan. Ramai yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan namun tidak menjumpai jalan untuk meneruskan niat dalam keusahawanan. Ramai juga yang takut untuk membina sesebuah perniagaan kerana memikirkan modal wang ringgit dan tidak berani menghadapi sebarang risiko. Ada juga yang menguruskan perniagaan tetapi tidak mempunyai ilmu dan jiwa yang mendalam terhadap perniagaan akan menyebabkan kesan kepada perniagaan tersebut.

Modal terbesar ialah diri sendiri dan sekiranya berfikir soal modal wang ringgit, kini banyak perniagaan yang boleh dimulakan tanpa sebarang modal lebih-lebih lagi kini di era teknologi digital, perniagaan banyak dilakukan secara atas talian melalui pelbagai platform media sosial dan aplikasi digital secara percuma yang menjimatkan pelbagai kos.

 Sebagai contoh, gunakan apa yang ada pada diri sendiri dan perluaskannya serta maklumkan kepada masyarakat tentang apa yang anda boleh tawarkan. Untuk permulaan, Jika anda kekurangan modal wang tetapi anda boleh sediakan sebuah perkhidmatan, apa yang perlu anda lakukan ialah anda hebahkan perkhidmatan itu. Contohnya, anda hebahkan servis penyediaan makanan yang anda boleh lakukan dan pelanggan anda akan hadir melalui hebahan itu bahkan anda boleh gunakan keuntungan daripada wang tempahan yang diberikan oleh pelanggan tersebut untuk menguruskan perniagaan.

Sekiranya anda ingin menjual produk, anda boleh menjual produk orang lain terlebih dahulu dengan mengambil komisyen atau sebagai dropshipper. Cara sebegini juga antara yang popular untuk memulakan perniagaan tanpa sebarang modal dan menjimatkan pelbagai kos untuk permulaan perniagaan anda.

Mudah sebenarnya untuk berniaga dan menjadi usahawan. Anda digalakkan berdoa kepada Allah, solat dan berusaha serta bertawakal sebaiknya sebelum memulakan sesuatu agar dibukakan peluang yang terbaik olehNya. Di sini, saya sertakan tip dan langkah-langkah untuk anda memulakan perniagaan. Ingat! Kuasa tindakan ialah segalanya selepas anda mempunyai minat dan idea dalam menceburi bidang perniagaan. Kemahuan mengatasi kemampuan dan jangan takut untuk melakukan kesilapan.

Langkah demi langkah memulakan perniagaan :

Langkah Pertama: Kenali potensi diri

Sebelum memulakan perniagaan, kenali kekuatan dan kelemahan diri anda yang boleh menjadi kayu ukuran dalam membina perniagaan yang diinginkan. Setiap daripada kita mempunyai bakat dan kelebihan. Untuk menjadi usahawan berjaya, perkembangkan potensi dan kelebihan diri. Sekiranya dapat mengenali kekuatan dan kelemahan diri, kita dapat memperbaiki mana-mana potensi diri yang lemah.

Langkah kedua : Pilih bidang perniagaan yang betul

Tuliskan kekuatan dan perkara yang paling mahir anda boleh lakukan. Pilihan perniagaan yang ingin dijalankan haruslah mengikut minat, potensi kekuatan diri dan jangan terikut-ikut dengan perniagaan orang lain agar sesebuah perniagaan yang dijalankan menjadikan diri anda lebih bersemangat, tidak berputus asa dan berjuang ke arah kejayaan.

Langkah ketiga : Pilih idea yang paling baik untuk anda

Anda senaraikan idea-idea bersandarkan kekuatan dan kemahiran anda. Seterusnya, anda harus memilih perniagaan dalam pasaran yang berkembang maju. Siapa sangka jika era dahulu, perniagaan berbentuk industri minyak lebih maju dan sekarang ini kita dapat melihat bahawa perniagaan telekomunikasi dan digital dapat memberi keuntungan yang lebih besar.

Langkah keempat : Buat penyelidikan pasaran

 Anda perlu memahami faedah dan kelebihan produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan dalam pasaran. Anda juga harus menyelidik ciri-ciri pelanggan, permintaan semasa dan mengetahui saiz pasaran mengikut demografi penduduk yang merupakan prospek perniagaan anda.

Langkah kelima :  Fahami pasaran semasa dan apakah kelebihan persaingan anda

Seterusnya, anda hendaklah memahami keadaan pasaran semasa dan persaingan yang mungkin dihadapi meskipun anda memulakan perniagaan baharu. Persaingan pasti wujud namun ianya perkara biasa. Oleh itu, anda hendaklah benar-benar tahu keadaan perniagaan yang diceburi.

Langkah keenam : Fahami pelanggan anda

Perkara utama dalam perniagaan ialah pelanggan. Pelanggan yang akan kerap berurusan dengan kita .Justeru, fahami pelanggan anda dan simpan rekod pelanggan. Ketahui demografi pelanggan dan faktor yang mempengaruhi pelanggan anda untuk berurusan dengan anda.

Langkah ketujuh : Cari niche anda

Kenal pasti keunikan dan keistimewaan produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan. Selepas itu, anda hendaklah mengenalpasti sasaran pasaran supaya anda dapat bersaing dalam pasaran terutamanya dalam pasaran tempatan. Untuk mencari niche, anda perlu menyelidik lokasi, kekerapan membeli, harga, umur, jantina, kumpulan sosial ekonomi dan gaya hidup pelanggan. Anda  fokuskan pada segmen pasaran.

Langkah kelapan : Mencari nama dan jenama

Nama perniagaan anda mestilah mengandungi unsur unik, ringkas dan mudah difahami. Nama perlu bersesuaian dengan keunikan produk atau perkhidmatan. Cipta cogan kata atau tagline yang sesuai dengan keunikan perniagaan anda. Penjenamaan dalam perniagaan perkara terpenting kerana daripada jenama, barulah orang mengenali produk atau servis yang ditawarkan. Jenama yang baik amat penting untuk pasaran jangka panjang.

Langkah kesembilan : Daftarkan perniagaan anda

Cari nama perniagaan anda. Tentukan jenis syarikat seperti syarikat perseorangan, syarikat perkongsian atau Syarikat Sendirian Berhad. Daftarkan syarikat anda dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan buat akaun bank untuk perniagaan. Anda perlu daftarkan pekerja anda dengan kumpulan wang Simpanan pekerja (KWSP), daftarkan perniagaan anda dengan Bahagian Pendaftaran Kontraktor Kementerian Kewangan serta daftarkan perniagaan anda dengan Bahagian Khidmat Kontraktor (PKK) atau Lembaga Industri Kontraktor.

Langkah kesepuluh : Merancang perniagaan, mengurus dan memperkembangkannya

Anda perlu tentukan nama syarikat dan alamat untuk dihubungi. Tentukan produk atau perkhidmatan utama yang ditawarkan. Selain itu, mengenalpasti pasaran dan persaingan serta tentukan strategi pemasaran dan jualan. Anda perlu mempunyai pengurusan peribadi seperti struktur organisasi syarikat dan senarai kemahiran serta kepakaran yang diperlukan. Anda juga seharusnya mempunyai pengurusan operasi syarikat, merekod prestasi kewangan dan buat analisa SWOT. Usahawan perlu berwawasan dan melakukan jangkaan gambaran masa hadapan berkaitan perniagaan yang dijalankan.

__________________________________________________________________________________

Bilakah waktu terbaik untuk memulakan perniagaan? Jawapannya ialah sekarang, iaitu apabila terdetik untuk membina perniagaan dan menjadi usahawan. Kita tidak pasti bilakah waktu terbaik untuk melakukan sesuatu yang ingin dikecapi. Justeru, ketika anda mempunyai idea dan terdetik niat di hati, itulah sebenarnya waktu terbaik untuk anda melakukan langkah dalam memulakan perniagaan.

Jika anda ingin membuka perniagaan yang telah dibina oleh orang lain, belajarlah daripada mereka yang sudi mengajarkannya. Contohnya, jika anda ingin membuka perniagaan restoran, belajarlah daripada pengusaha restoran itu seterusnya jadikan beliau sebagai mentor dalam perniagaan anda untuk mengelakkan kesilapan dalam menguruskan perniagaan.

Bagi pendapat saya, kendalikanlah apa jua perniagaan yang anda minat untuk dijalankan. Sekiranya anda mempunyai minat dan jiwa yang mendalam terhadap sesebuah perniagaan yang dibina, sudah pasti anda akan lebih bersemangat, berjuang dan tidak mudah putus asa untuk meneruskan perniagaan itu sehingga berjaya.

Sebahagian perniagaan tumbang sekerat jalan bukan kerana perniagaannya tidak menguntungkan tetapi kerana kekurangan ilmu dan cara pengurusan syarikat serta pengurusan kewangan yang kurang baik. Oleh itu, untuk menjadi usahawan berjaya dalam sesebuah perniagaan, anda perlu sentiasa menambah pengetahuan dan ilmu khususnya dalam memajukan lagi perniagaan dan memperluaskan jaringan perniagaan dengan lebih berkesan. Usahawan juga harus bersedia melakukan perubahan mengikut peredaran zaman kerana teknologi dan polisi sesetengah pentadbiran akan berubah dan mungkin memberi kesan kepada perniagaan yang dibina.

Apakah hala tuju perniagaan sebenar? Objektif perniagaan sememangnya untuk membina keuntungan hasil daripada perkhidmatan dan produk yang ditawarkan oleh sesebuah perniagaan. Namun, nilai sebenar perniagaan itu ialah apabila perniagaan dan usahawan itu dapat memberikan manfaat dan kebaikan kepada para pelanggan. Rezeki datangnya daripada  Allah dan seharusnya kita menuruti perintah dari pemberi rezeki agar perniagaan kita diberkati oleh Nya.

Comments

BACA!

FAKARUDDIN YUSOFF- GIAT MEMPERLUAS EMPAYAR PERNIAGAAN

Oleh: Akmal Radzuan Artikel ini diterbitkan dalam Majalah Keusahawanan PKNS Bizpoint bilangan 64,2018. FAKARUDDIN YUSOFF                Menyelusuri zaman kanak-kanak, usahawan muda yang merupakan Pengarah Brotherhood & Co, Fakaruddin Yusoff ini hanya berkayuh basikal roda tiga membantu ibunya menjual aneka kuih-muih dan kini beliau boleh berbangga dengan rangkaian perniagaannya di bawah jenama Brotherhood & Co. Dari sebuah restoran berkonsepkan hipster coffee house   yang menawarkan   juadah makanan mampu milik hinggalah kepada perniagaan kedai runcit dan perkhidmatan dobi layan diri, usahawan berwawasan ini dilihat mempunyai visi dan misi yang jelas dalam memperluas dan melonjakkan perniagaannya.  Jenama Brotherhood&Co yang  semakin meningkat naik. Seawal menceburi bidang perniagaan restoran pada tahun 2015, Fakaruddin sememangnya tampil bergaya dengan ideologi dan konsep yang tersendiri ...

YUSLINDA YUSOF- CEKAL JADI BEKAL SEORANG USAHAWAN

OLEH: AKMAL RADZUAN *Artikel ini diterbitkan dalam majalah keusahawanan PKNS Bizpoint.Bilangan 63.2018. Langkah awal ke arah perniagaan yang bermula secara tak langsung tetapi dengan dorongan , tekad dan azam yang tinggi, ianya   menjadi   tiket perjalanan perniagaan paling bermakna buat usahawan muda Yuslinda Yusof. Pemilik Arideal Enterprise dan butik pakaian wanita muslimah berkonsep tapak jualan yang diberi nama Kiki Aisyah ini mengakui bahawa sokongan suaminya dan darah perniagaan yang mengalir dari jalur keturunan ibunya bukanlah menjadi titik tolak. Namun, kecekalan hati dan motivasi diri menjadi rencah dan ramuan dalam diari seorang usahawan untuk mara kehadapan. Sebelum memasuki gerbang perniagaan, Yuslinda merupakan graduan multimedia interaktif dari Universiti Kuala Lumpur dan pernah menabur bakti sebagai penjawat swasta dalam bidang teknologi maklumat dari tahun 2009 sehingga 2012. Hala tuju bermulanya sebagai usahawan berjaya itu telah bercambah setelah s...

MARIA WAHID - DORONGAN KELUARGA SEJAK KECIL,BINA HALA TUJU PERNIAGAAN

OLEH: Akmal Radzuan Muda berketerampilan, manis air wajah dan sopan santun tutur bahasa antara perwatakan yang terpapar pada diri Siti Maria Abdul Wahid, usahawan wanita yang baru menginjak usia 26 tahun. Kini, usahawan yang lebih selesa disapa panggilan Maria meneruskan legasi perniagaan Butik Citra Mawar, sebuah butik pakaian wanita warisan ibunya. Sememangnya, keterlibatan kedua ibu bapa kandungnya dalam dunia perniagaan sejak beliau di bangku sekolah bagai mewariskan minda bisnes dan menyuntik minat serta semangat dalam memajukan perniagaan yang dijalankan. Selok-belok urus niaga telah diketahui dan dididik oleh ibu bapanya sewaktu beliau masih di sekolah rendah.       Pengalaman membantu ibunya menjual pakaian seperti baju kurung dan tudung kepada guru sekolah telah mengajar beliau erti jual-beli dalam perniagaan. Ayah kandungnya yang mengusahakan bengkel kereta juga menitipkan buah fikiran untuk Maria menceburi bidang bisnes. Sewaktu kecil, pernah sek...