Skip to main content

PEMANGKIN KEJAYAAN USAHAWAN

Oleh: Akmal Radzuan@akmalduanz

Bidang keusahawanan menjadi pencetus kepada kemajuan ekonomi negara. Para usahawan dalam negara memainkan peranan penting dalam setiap bidang perniagaan yang mereka kendalikan. Sudah pasti di sebalik kejayaan seorang usahawan, ada pencetus dan pemangkin kepada sesebuah kejayaan yang digapai.


Terdapat elemen-elemen pemangkin kejayaan usahawan yang memacu kemajuan perniagaan seseorang usahawan itu. Faktor-faktor ini sememangnya membawa kepada kejayaan seseorang usahawan dan bakal usahawan khususnya para usahawan muda dalam mendepani dunia perniagaan masa kini.



Antara pemangkin kejayaan seseorang usahawan muda ialah :



1.       Ilmu

Ilmu penyuluh kehidupan. Islam amat menitikberatkan tentang ilmu. Segala apa yang kita lakukan di dunia ini memerlukan ilmu pengetahuan yang bermanfaat. Kita tidak akan mengetahui apa-apa melainkan dengan ilmu yang kita tuntut atau kita pelajari. Seperti seorang usahawan, kepentingan menuntut ilmu dalam apa jua bidang khususnya ilmu dalam perniagaan dan pemasaran amat diutamakan agar mampu meningkatkan tahap perniagaan yang dikendalikan. Sebenarnya, naik turun sesebuah perniagaan itu juga terkait dengan ilmu. Hal ini kerana, apabila seseorang usahawan itu mempunyai ilmu dan sentiasa meningkatkan pengetahuan dalam aspek perniagaan yang dijalankan, sudah pasti pelbagai cara untuk melonjakkan perniagaan dapat diaplikasikan dan bukannya hanya menyalahkan keadaan semasa dan orang lain. Kaya ilmu, Inshaa Allah akan kaya segalanya.



2.       Ikon / mentor

Ikon atau mentor merujuk kepada individu yang boleh dijadikan contoh teladan dan idola dalam kehidupan seseorang usahawan. Mentor dapat  dijadikan rujukan dalam perniagaan yang dikendalikan oleh seseorang usahawan itu. Perniagaan seseorang usahawan itu mudah dibimbing oleh mentor dan boleh dijadikan sebagai pakar rujuk dalam perkara yang melibatkan perniagaan. Seperti yang kita tahu, Nabi Muhammad juga mempunyai mentor yang membimbing beliau iaitu Malaikat Jibril yang diutuskan oleh Allah yang menyampaikan wahyu kepada Nabi Muhammad dalam penyebaran dakwah. Jika kita mempunyai mentor dalam bidang perniagaan yang dijalankan, kesilapan dalam aktiviti perniagaan dapat dikurangkan seterusnya perniagaan kita dapat dibimbing dengan baik oleh mentor berpengalaman yang bersama-sama membimbing untuk kemajuan dalam perniagaan.



3.       Usaha dan Tindakan

Ilmu dan yakin, ditambahkan dengan amal atau tindakan, barulah datangnya hasil yang baik. Begitu juga dengan seseorang usahawan dalam memulakan perniagaan atau mengendalikan perniagaan yang dijalankan. Selepas mendapat pengetahuan yang baik untuk diamalkan, seharusnya usahawan itu harus cepat melakukan tindakan untuk mendapatkan hasil yang baik. Sebagai contoh, ilmu pemasaran yang dipelajari perlu dipraktikkan dan jangan menangguhkan usaha itu kerana kelak akan mendatangkan kerugian. Jika seseorang usahawan itu terus berusaha gigih dan melakukan tindakan yang betul, Inshaa Allah, kemajuan dalam perniagaan akan terus melonjak. Tindakan amat penting untuk mendapatkan hasil yang baik selepas seseorang usahawan itu mendapat idea dan ilmu dalam sesuatu perkara untuk menaikkan tahap perniagaan.



4.       Sistem

Sistem atau cara dalam perniagaan yang dijalankan amat penting. Setiap perniagaan yang dilakukan oleh para usahawan hendaklah mengikut sistem yang betul bagi melonjakkan tahap perniagaan yang dijalankan. Sebagai contoh dalam perusahaan yang dijalankan, sesebuah syarikat itu perlu mempunyai unit tertentu bagi memastikan kelancaran pengurusan perniagaan. Dalam aspek pemasaran pula, cara perniagaan yang dilaksanakan perlu mengikut sistem perniagaan yang mendatangkan kemajuan. Sebagai contoh, perusahaan Restoran McDonald’s maju dan terkenal di seluruh dunia ialah kerana kekuatan sistem perniagaan secara franchais yang mempunyai banyak rangkaian cawangan restoran yang memenuhi peta dunia. Cuba bayangkan jika McDonald’S tidak membuka franchais, sudah pasti McDonald’s tidak semaju seperti hari ini. Lain bidang perniagaan, lain sistem untuk memantapkan perniagaan. Seseorang usahawan perlu menambah ilmu dan memastikan perniagaan yang dijalankan amat sistematik dari segi pengurusan, pemasaran, kewangan dan  lain-lain aspek agar dapat melonjakkan tahap perniagaan.





5.       Motivasi

Motivasi amat penting khususnya motivasi kendiri seseorang usahawan. Usahawan perlu mempunyai sikap positif yang menyingkirkan segala unsur negatif yang mengundang keburukan. Kini, pelbagai seminar motivasi yang boleh dihadiri oleh usahawan untuk memantapkan jati diri selain daripada mengekalkan sikap positif yang sudah tertanam dalam diri. Cabaran dalam perniagaan dapat ditempuhi dengan baik apabila seseorang usahawan mempunyai motivasi diri yang kuat yang mahu mencapai matlamat dalam kemajuan perniagaan yang dibina. Tanyalah tokoh usahawan berjaya di dunia seperti Bilionair dan Pengasas Ali Baba Group iaitu Jack Ma, sudah pasti jawapannya ialah segala kejayaan datangnya dari motivasi kendiri yang positif untuk menggenggam kejayaan dan tidak kenal erti mudah putus asa.



6.       Kesungguhan dan Semangat

Sikap bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu dan bersemangat amat memacu kemajuan perniagaan seseorang usahawan. Apabila obor semangat sudah dibakar dengan api kesungguhan, sudah pasti seseorang usahawan tidak mudah mengalah dalam melakukan sesuatu untuk menaikkan perniagaan yang dijalankan dan sentiasa positif dalam mencapai matlamat yang diimpikan. Sikap sebegini amat penting dan sudah pasti usahawan itu akan terus maju ke hadapan kerana unsur kejayaan telah lahir dalam peribadi usahawan itu. Inshaa Allah, usahawan yang sentiasa bersungguh-sungguh dan bersemangat dalam melakukan sesuatu sudah pasti akan berjaya dalam apa jua matlamat yang dihasratkan.



7.       Perancangan Kewangan

Dalam Aspek perkembangan dan kemajuan perniagaan, kewangan yang baik ialah nadi dalam perniagaan tersebut. Justeru, seseorang usahawan perlu mengatur strategi dan pengurusan yang sistematik untuk memastikan kelancaran kewangan dan aliran wang tunai yang konsisten. Seseorang usahawan itu harus ada disiplin dalam merencanakan pengurusan kewangan dalam sesebuah syarikat dan memastikan keuntungan yang memberangsangkan. Masa kini, banyak aplikasi canggih yang membantu para usahawan untuk mengemaskini kewangan. Para usahawan juga seharusnya menimba ilmu dan bertukar-tukar pendapat dengan usahawan dan mentor yang dikenali untuk memastikan kelancaran dalam aspek penjanaan keuntungan dan pengurusan kewangan yang stabil



8.       Kreatif dan Inovatif



Kreatif dan inovatif ialah satu elemen yang amat baik dalam diri seseorang usahawan. Sedarikah anda bahawa, banyak perkara dalam era teknologi hari ini tercetus oleh kerana daya kreatif dan inovatif para pengusaha dan usahawan di dunia ini. Siapa sangka, dengan berfikiran di luar kotak dan memastikan manfaat besar kepada masyarakat, syarikat seperti Google, Facebook, You Tube  dan Grab telah memberikan manfaat besar kepada masyarakat hasil daya kreativiti pengasas aplikasi dan syarikat ini. Justeru, seseorang usahawan perlu sentiasa menambahkan ilmu pengetahuan dan berani melakukan sesuatu idea yang bermanfaat seterusnya diterjemahkan supaya menjadi suatu produk dan servis terbaik buat masyarakat.



Inovatif ialah perkara yang menambah baik sesuatu perkara. Dalam Bahasa Jepun, inovasi digelar sebagai Kaizen. Kaizen ialah sesuatu yang disebut sebagai memudahkan dan mencanggihkan lagi kemudahan sedia ada. Perkara seperti kaizen ini dapat memupuk budaya kreativiti dan inovasi yang baik dalam masayarakat dan usahawan harus sentiasa bersikap kreatif dan inovatif dalam mengendalikan perniagaan.



Dalam pasaran semasa, daya kreativiti dalam dunia pemasaran seperti Strategi Lautan Biru atau disebut sebagai Blue Ocean Strategy ialah contoh strategi kreatif yang boleh dipraktikkan oleh para usahawan. Idea strategi lautan biru ini diilhamkan oleh dua orang penulis iaitu W. Chan Kim dan Renee Mauborgne. Secara ringkasnya, strategi lautan biru ini ialah bagaimana mencipta ruang pasaran yang belum dijelajahi yang boleh membuka peluang pertumbuhan yang sangat menguntungkan. Caranya ialah bagaimana untuk bersaing dengan tangkas dalam persaingan perniagaan, bagaimana secara bijak membaca persaingan, menyusun strategi dan kerangka kerja yang sistematik dengan menciptakan lautan biru yang kelihatan unik dalam aspek pasaran semasa.



Sebagai contoh, pasaran dunia penerbangan dianggap lautan merah iaitu terdapat pelbagai syarikat gergasi seperti Qatar Airways, Emirates dan Turkish Airlines dan pelbagai syarikat penerbangan lain seperti Air Asia. Air Asia sebagai contoh, telah berada di lautan biru dengan mencipta keunikan tersendiri berbanding syarikat penerbangan lain iaitu dengan mengenakan tambang paling murah sejajar dengan penggunaan tagline “everyone can fly”. Strategi seperti ini membuatkan Air Asia semakin memudahkan orang ramai untuk menaiki kapal terbang ke mana-mana dengan harga yang rendah dan Air Asia diminati oleh semua pengguna di seluruh dunia.

Comments

BACA!

FAKARUDDIN YUSOFF- GIAT MEMPERLUAS EMPAYAR PERNIAGAAN

Oleh: Akmal Radzuan Artikel ini diterbitkan dalam Majalah Keusahawanan PKNS Bizpoint bilangan 64,2018. FAKARUDDIN YUSOFF                Menyelusuri zaman kanak-kanak, usahawan muda yang merupakan Pengarah Brotherhood & Co, Fakaruddin Yusoff ini hanya berkayuh basikal roda tiga membantu ibunya menjual aneka kuih-muih dan kini beliau boleh berbangga dengan rangkaian perniagaannya di bawah jenama Brotherhood & Co. Dari sebuah restoran berkonsepkan hipster coffee house   yang menawarkan   juadah makanan mampu milik hinggalah kepada perniagaan kedai runcit dan perkhidmatan dobi layan diri, usahawan berwawasan ini dilihat mempunyai visi dan misi yang jelas dalam memperluas dan melonjakkan perniagaannya.  Jenama Brotherhood&Co yang  semakin meningkat naik. Seawal menceburi bidang perniagaan restoran pada tahun 2015, Fakaruddin sememangnya tampil bergaya dengan ideologi dan konsep yang tersendiri ...

YUSLINDA YUSOF- CEKAL JADI BEKAL SEORANG USAHAWAN

OLEH: AKMAL RADZUAN *Artikel ini diterbitkan dalam majalah keusahawanan PKNS Bizpoint.Bilangan 63.2018. Langkah awal ke arah perniagaan yang bermula secara tak langsung tetapi dengan dorongan , tekad dan azam yang tinggi, ianya   menjadi   tiket perjalanan perniagaan paling bermakna buat usahawan muda Yuslinda Yusof. Pemilik Arideal Enterprise dan butik pakaian wanita muslimah berkonsep tapak jualan yang diberi nama Kiki Aisyah ini mengakui bahawa sokongan suaminya dan darah perniagaan yang mengalir dari jalur keturunan ibunya bukanlah menjadi titik tolak. Namun, kecekalan hati dan motivasi diri menjadi rencah dan ramuan dalam diari seorang usahawan untuk mara kehadapan. Sebelum memasuki gerbang perniagaan, Yuslinda merupakan graduan multimedia interaktif dari Universiti Kuala Lumpur dan pernah menabur bakti sebagai penjawat swasta dalam bidang teknologi maklumat dari tahun 2009 sehingga 2012. Hala tuju bermulanya sebagai usahawan berjaya itu telah bercambah setelah s...

MARIA WAHID - DORONGAN KELUARGA SEJAK KECIL,BINA HALA TUJU PERNIAGAAN

OLEH: Akmal Radzuan Muda berketerampilan, manis air wajah dan sopan santun tutur bahasa antara perwatakan yang terpapar pada diri Siti Maria Abdul Wahid, usahawan wanita yang baru menginjak usia 26 tahun. Kini, usahawan yang lebih selesa disapa panggilan Maria meneruskan legasi perniagaan Butik Citra Mawar, sebuah butik pakaian wanita warisan ibunya. Sememangnya, keterlibatan kedua ibu bapa kandungnya dalam dunia perniagaan sejak beliau di bangku sekolah bagai mewariskan minda bisnes dan menyuntik minat serta semangat dalam memajukan perniagaan yang dijalankan. Selok-belok urus niaga telah diketahui dan dididik oleh ibu bapanya sewaktu beliau masih di sekolah rendah.       Pengalaman membantu ibunya menjual pakaian seperti baju kurung dan tudung kepada guru sekolah telah mengajar beliau erti jual-beli dalam perniagaan. Ayah kandungnya yang mengusahakan bengkel kereta juga menitipkan buah fikiran untuk Maria menceburi bidang bisnes. Sewaktu kecil, pernah sek...